cerita sakit kuning

HIKAYAT PENYAKIT KUNING
oleh Ronasina

Alkisah bermula cerita di sebuah negeri bernama Malassiasia. Rakyatnya hidup berbilang bangsa, sengsara berduka di bawah konsep 1Merana. Kais pagi nak makan senja, kais malam nak bayar hutang keliling kepala. Tidak seperti Menteri Perdana, hidup mewah di dalam istana, beg tangan isterinya saja segudang banyaknya. Berbagai warna berbagai jenama, harganya sudah tentulah teramat istimewa. Tidak mengapa, beban cukai dihempapkan ke jemala rakyat jelata.
Inilah ceritera baru nak bermula, kisah Menteri Perdana yang gundah gulana. Entah apa petaka penyakit ganjil mula melanda. Tidaklah tahu bagaimana punca, bak kilat virus datang menyerang tubuhnya.

Menteri Perdana jatuh gering,
segala dilihat semuanya kuning
masuk tandas nampak kuning
tengok dinding warna kuning
kucing melintas berbulu kuning
sarapan telur setengah masak nampak kuning
pendek kata semua kuning
tidak ada yang tidak kuning
semuanya kuning belaka

Dalam keadaan gering yang semakin parah, Menteri Perdana tetap tak mahu kalah, depan pegawai dia tunjuk gagah, seolah-olah tiada masalah. Mesyuarat bersidang seperti biasa, untuk mengetahui perkembangan semasa, segala menteri melapor berita, untuk pengetahuan sang Menteri Perdana.

"Wahai Menteri Pertanian dan Tumbuh-tumbuhan! Bagaimanakah keadaan projek pertanian kita?" Soal Menteri Perdana. Menteri Pertanian tersengih kerang, mata yang layu tetiba terang, mujur laporan sudah siap dibentang, betul salah cerita belakang.

"Inilah laporan projek pertanian kita wahai Menteri Perdana yang sangat kami kasihi lagi disayangi. Ke semuanya sedang menjadi-jadi. Padi sudah masak dan sawah sudah MENGUNING......."

"Arghhhh!!! Jangan sebut kuninggg!! Beta tak boleh dengar...tubuh beta akan jadi seram sejuk dan perut memulas-mulas. Tolong teruskan tapi berhati-hati dengan perkataan.." jerit Menteri Perdana sambil menekan perut. Muka pula berkerut-kerut bagai diserang angin senggugut.

"err..ampun Menteri Perdana. Seterusnya juga projek tanaman durian, rambutan gading dan mangga harum manis di sebelah utara semuanya sedang masak meranum dan berwarna........"

"Jangan sebuutt warnanya. Beta tahu warna buah-buahan tersebut kuning. Arghh!" Kali ini Menteri Perdana jatuh berguling-guling sebab terdengar perkataan kuning yang beliau sendiri sebutkan. Tapi beliau kuatkan semangat dan bangun semula duduk di takhtanya. Isterinya yang bertubuh besar tidak sempat bangun sebab terlalu berat. Jika tidak, dia akan bangun mengangkat Menteri Perdana dengan tangannya yang gagah perkasa.

"Sudah! Menteri Pengangkutan pula bagaimana?" Tanya Menteri Perdana menahan sakit. Mulutnya tersebik-sebik.

Menteri Pengangkutan berdiri gagah membentang laporan. " Kenderaan-kenderaan awam kepunyaan kita banyak yang rosak. Kontraktor yang mengambil tender membaiki kenderaan kita sudah lari. Tapi jangan risau, patik akan mencari kontraktor yang lain dalam YELLOW Pages..."

Kali in bukan kepalang. Penyakit kuning semakin menerjang. Menteri Perdana tergolek terlentang, terdengar YELLOw matanya terbuntang. Bak disampuk mambang, isterinya juga tiba-tiba tumbang, menggigil tubuhnya bak ikan ternampak memerang. Jangkitan kuning tak dapat lagi dihalang.
Menteri Kesihatan pantas bangkit, berfikir mencari penawar penyakit. Virus mesti dibunuh cepat sebelum semua menteri juga mendapat. Seluruh pelosok negeri dicanang, diminta semua bomoh dan pawang, kalau handal silalah datang, ubatkan penyakit yang menyerang, segala hadiah dan ganjaran usahlah bimbang, lumayan gila bang!
Tapi entah apakah malang apalah dosa, sudah seribu tabib berusaha, semuanya sia-sia belaka, penyakit kuning tetap bermaharajalela. Menteri Perdana, isterinya dan seluruh menteri dalam istana sugul, hatinya masygul.


Tiada ulasan: